Selasa 4 Februari 2014
Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat
Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari
2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah
membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair
termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri
N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN
Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.
Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS
Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR
berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah
Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula
dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam
pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri
Besar Selangor adalah tidak berbangkit.
Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung
sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh
terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri
(2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami
Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan
perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika
perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi
penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya
mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment