Sunday, February 23, 2014

PAS Wilayah mahu kekal tanding 3 kerusi parlimen

FEB 24, 2014 HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan mahu tiga kerusi parlimen iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dikekalkan pada PRU14 akan datang.
Keputusan itu antara resolusi siasah dan pilihan raya yang dicapai pada Munaqashah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di Dewan Datuk Fadhil Mohd Noor, Taman Melewar, semalam.

Selain itu, munaqashah semalam juga bersetuju menyarankan PAS Wilayah Persekutuan membawa peranan gerakan Islah dan tajdid terutama dalam pertembungan idea.

Mereka juga perlu terus menjadi rakan yang aktif dalam Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan dengan memperkukuhkan persefahaman politik (tahaluf siyasi) untuk menghadapi PRU ke-14 dengan lebih bersedia berdasarkan analisa perspektif mikro dan terperinci kawasan pilihanraya kesan dari persempadanan semula secara 'gerrymandering'.

Dalam aspek pemerkasaan parti pula, PAS Wilayah Persekutuan juga bersetuju memastikan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ditubuhkan di kawasan parlimen yang PAS bertanding dan peranannya turut diperkasakan menjadi sebuah entiti parti yang berkesan.

Program itu semalam dirasmikan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad, manakala penutup oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat Nasraruddin Hassan.
Dua kertas kerja dibincang dalam munaqashah ini iaitu 'Menyorot PRU13 dan Meninjau PRU14' oleh AJK PAS Pusat Amiruddin Hamzah, dan 'Memahami Visi dan Misi Ucapan Dasar Presiden' oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kayat.

Lebih 500 peserta mengikuti program tersebut semalam.

Monday, February 10, 2014

Kenyataan Media Presiden PAS - Konsensus Nasional

Sabtu 8 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan perbincangan di kalangan pimpinan PAS Pusat untuk meneliti berbagai aspek dalam menekuni persoalan "Konsensus Nasional" yang telah dilontarkan oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, PAS menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha merungkai serta menyelesaikan kemelut dalam negara kita ini. PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan, sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi berbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara. Ianya juga adalah selari dengan keperluan muzakarah yang saya sebutkan dalam penggulungan Muktamar PAS ke 59 yang lalu.

Lanjutan dari itu, maka PAS berharap agar  pihak kerajaan  dapat menyatakan terma - terma dan proses Konsensus Nasional ini sebagai langkah bergerak ke hadapan.


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Monday, February 3, 2014

Kenyataan Media Presiden PAS

Selasa 4 Februari 2014

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.

Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS