Thursday, December 12, 2013

cukai oh cukai..

PAS WILAYAH : CUKAI TAKSIRAN  BARU DBKL JELAS KETEPI KEBAJIKAN WARGA WP

PAS wilayah  memandang serius tindakan untuk menaikkan cukai taksiran hartanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) . Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan melihat ini sebagai satu tindakan yang tidak melihat kepada realiti sebenar warga WP  yang sememangnya telah dihimpit dengan pelbagai masalah ekoran hambatan ekonomi yang semakin mencabar pada masa sekarang.

Badan perhubungan Pas Wilayah Persekutuan yakin tindakan ini pasti akan memberikan kesan kepada cukai pintu yang terpaksa ditanggung oleh warga KL . Persoalan yang lebih besar yang mahu kami bangkitkan disini, adakah DBKL sedar ataupun tidak bahawa rakyat sekarang sedang dihimpit dengan tekanan kehidupan dengan kenaikan harga barang yang membebankan ? GST sahaja sudah cukup untuk memeningkan warga WP bagaimana untuk meneruskan survival kehidupan sekarang dengan kos hidup yang semakin meningkat  kesan kenaikan harga barang keperluan yang tidak terkawal, kenaikan harga minyak, bakal kenaikan tarif elektrik, tol dan tambang pengangkutan awam .
Sekarang kita warga WP dibebani pula dengan cukai taksiran hartanah oleh pihak DBKL. Ianya satu tindakan yang diluar jangkaan kita dan luar jangkaan sebagai seorang warga WP yang terpaksa berhempas pulas untuk mencari sesuap rezeki. Ianya juga amat bertentangan dengan slogan kerajaan BN yang dilaungkan selama ini ' Rakyat diutamakan'.

BANTAHAN CUKAI TAKSIRAN HARTANAH PADA 16/12/2013 DI DATARAN DBKL

Melihatkan ianya adalah satu kezaliman kepada warga WP, maka menjadi satu tanggungjawab kepada Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan melancarkan kempen membantah kenaikan cukai taksiran hartanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Maka dengan itu kami menyeru kepada seluruh ahli PAS khususnya ahli PAS di Wilayah Persekutuan dan seluruh warga kota untuk hadir menyatakan bantahan pada 16/12 /2013 di Dataran DBKL, Jalan Raja Laut jam 11.00 pagi, inshaAllah. Ini bukannya isu untuk agenda  kepentingan parti-parti tertentu tetapi ianya merupakan agenda rakyat yang mesti diutamakan dan diperjuangkan.   Jangan lupa inshaAllah kita bertemu disana.  

" ALLAHU AKBAR ! "
" RAHMAT UNTUK SEMUA "  


HAJI MOHAMAD NOOR, 
PESURUHJAYA  PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

Tuesday, December 3, 2013

Jenayah: Kerajaan perlu bentang pelan konstruktif

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta kerajaan segera membentangkan pelan strategi konstruktif bagi memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga beradik yang mati dibunuh di Alor Setar Kedah Sabtu lalu, ahli jawatankuasa DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, pelan strategik ini merupakan peranan holistik yang sepatutnya digerakkan oleh kerajaan secara terarah.

"DMPP sangat berdukacita dengan peristiwa malang yang menimpa golongan kanak-kanak ini dan kanak-kanak sebaya mereka sepatutnya dilindungi dan berada dalam perhatian keselamatan yang tinggi daripada semua pihak lebih-lebih lagi dengan menularnya pelbagai kes jenayah yang semakin tidak dapat dikawal.

"Kita tidak mahu hanya respons reaktif yang berbau jawapan politik tetapi kita mahu tahu pelan strategi yang Konstruktif dalam memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.

"Kita tidak boleh biarkan apa jua ruang terbuka untuk sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dua kelompok penting masyarakat ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Tiga beradik perempuan berusia tiga, 12 dan 14 tahun berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar Kedah dipercayai mati dibunuh.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong pukul 3.45 petang Sabtu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna,12, kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat lalu.

Mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang Ahad di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar iaitu kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Aiman berkata, amat mendukacitakan lagi apabila remaja seusia Shafikah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja akibat tekanan dan kemisikinan hidup.

Katanya,ini bukan kes terpencil dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara kita yang sering melaung-laungkan kemakmuran dan keamanan negara.

"Tidak sewajarnya masih wujud kemiskinan yang membawa kepada peristiwa-peristiwa tragis sebegini. Ia suatu yang sangat malang dan membangkitkan kemarahan rakyat.

"Jelas terlalu banyak kepincangan berlaku dalam segala usaha memastikan pelaksanaan apa jua dasar dan program kerajaan yang kononnya mesra kanak-kanak. Bagaimana boleh seorang kanak-kanak Malaysia tercicir daripada sistem pelajaran dan kemudiannya bekerja?" soalnya.

Beliau juga mempersoal peruntukan untuk Permata yang mencecah jutaan ringgit namun hak kanak-kanak miskin di negara ini tidak terbela.

"Di kala peruntukan untuk permata mencecah jutaan ringgit, maka apakah hak gol kanak-kanak miskin ini di mata pemimpin-pemimpin politik negara khususnya kerajaan?

"Tidakkah tragedi ini singgah di hati Datin Seri Rosmah Mansor yang selalu mendondangkan skrip lagu untuk rakyat bersyukur?

"Pemimpin Melayu Umno wajar malu dan insaflah. Ini maruah kanak-kanak perempuan berbangsa Melayu, yang berterusan berhadapan dengan pelbagai ancaman lazimnya daripada bangsa Melayu itu juga. Hilang ke mana hati budi bangsa ini walau 50 tahun Umno kekal menunjangi kuasa?" soalnya.

sumber : Harakahdaily