Wednesday, January 27, 2010

Pantau jualan pil khayal, bahan lucah di pasaran terbuka : Ketua DMPP


Ditulis oleh Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh meminta pihak berkuasa dan agensi kerajaan lebih serius membuat pemantauan terhadap lambakan pil, bahan bacaan lucah serta pil perangsang seks yang masih dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab khususnya polis dan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen Malaysia seharusnya melakukan pemantauan dan serbuan sepanjang masa terhadap pihak yang terlibat, bukan mengikut musim.

"Perkara ini memerlukan gerakan bersepadu daripada semua pihak. Semua pihak khususnya kerajaan harus mengambil inisiatif untuk melakukan pembasmian secara serius, jangan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA) mendedahkan bahawa berdasarkan pemantauan yang dilakukan, didapati cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan daun terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual secara terbuka.

Presidennya, Ravi Ponnan juga memberi contoh sejenis pil khayal buatan India yang didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.

Menurutnya juga, ubat khayal berupa serbuk kasar yang merupakan campuran pinang dan tembakau boleh memberikan kesan khayal selepas 15 minit memakannya meskipun ia bukan sejenis dadah yang diharamkan di India.

Nuridah berkata, ibu bapa selaku individu yang paling dekat dengan anak-anak harus menanamkan kesedaran dalam diri anak-anak mengenai bahaya bahan-bahan berkenaan dan kesannya kepada kehidupan mereka selain mengadakan kempen di sekolah-sekolah.

"Kalau yang beragama Islam, iman mesti ditanamkan dalam diri anak-anak. Kepada yang bukan Islam pula, kena tanamkan kesedaran dari sudut moral," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Menurutnya juga, jika kerajaan benar-benar serius mengambil tindakan terhadap pembekal, penjual dan juga pembeli bahan-bahan terlarang tersebut, mustahil ia masih boleh didapati dengan mudah di pasaran terbuka.

"Saya yakin kerajaan, pihak polis mesti tahu dari mana datangnya bahan-bahan itu, siapa pembekalnya. Kalau tiada pembekal, mana mungkin ada di pasaran terbuka. Saya hairan bagaiamna ianya boleh dijual secara terbuka kalau betul semua pihak membuat pemantauan dari awal hingga akhir," tegasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan yang telah melaungkan konsep 1Malaysia dengan tema 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' sewajarnya mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat dari pelbagai peringkat umur.

"Kerajaan yang sudah menawarkan kepada rakyat slogan 1Malaysia seharusnya membuktikan perkara itu, bukan sekadar mengwar-warkannya," katanya.

Hasil pemantauan yang dibuat MCPA sejak November lepas juga mendapati bahan-bahan berkenaan menjadi tarikan kepada pelajar sekolah kerana harganya yang amat murah.

Selain itu, alat renjatan elektrik dan pistol mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di pasar-pasar awam dan kedai runcit.

Alat renjatan elektrik yang berharga sekitar RM70 hingga RM80 juga boleh didapati dengan mudah di pasar awam termasuk di Kampung Baru di ibu negara.