Tuesday, March 16, 2010

GST : Manfaat atau Membebankan




Apa itu GST?

GST atau dalam bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

Apakah sorotan sejarah GST di Malaysia?

Di negara kita sendiri, cadangan GST ini sudah lama dibuat tetapi tidak dilaksanakan kerana kerajaan kurang yakin dan kurang pasti kesannya kepada pembayar cukai dan pengguna.

Yang pasti adalah kerajaan tidak ada kerajaan yang akan memperkenalkan GST atau apa juga cukai jika ia tidak menambah hasil (pendapatan) perbendaharaan. Antara sejarah GST diperkenalkan:


1) GST dibangkitkan pada tahun 2004 apabila Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang cukai itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari, 2007.

Bagaimanapun, menjelang tarikh itu Pentadbiran Abdullah mengalami krisis kewibawaan dan keyakinan yang serius dan banyak cadangan tidak dilaksanakan.

2) Pada 21 November 2009, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan yang rang undang-undang berhubung GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang Dewan Rakyat sekarang.

GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan. Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011

3) 15 Mac 2010- Kerajaan tidak meneruskan bacaan kedua pembentangan rang undang-undang GST apabila Parlimen bersidang hari ini dengan alasan memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan rakyat membuktikan kegusaran kerajaan BN melaksanakan dasar yang mungkin menimbulkan kemarahan rakyat. Katanya, menurut beberapa penganalis politik berdasarkan perkembangan itu, besar kemungkinan GST tidak akan diperkenalkan sehingga selepas PRU 13 nanti.


Berapakah kadar GST?

Kadar GST dicadangkan pada 4% iaitu lebih rendah dari kadar cukai jualan (5% dan 10%)

dan cukai perkhidmatan (5%) yang dikenakan pada masa sekarang.


Atau mudah faham,

Setiap rakyat perlu membayar tambahan 550 ringgit setahun jika cukai perkhidmatan dan barangan atau GST dilaksanakan dan ini tidak termasuk beban cukai lain.

Sebenarnya, yang terpaksa dibayar oleh pembayar cukai iaitu terdiri daripada 12 juta pekerja di Malaysia ialah tambahan sebanyak RM6.7 billion.

Inilah perlu ditanggung rakyat Malaysia. Dan jika jumlah ini diagihkan dengan 12 juta pekerja, ini bermakna setiap pembayar cukai perlu membayar RM550 setahun

Adakah GST membebankan rakyat @ pembayar cukai?

Logiknya kadar GST lebih rendah daripada kadar Cukai Jualan (5-15 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (lima peratus). Di negara jiran Singapura kadar GST adalah tujuh peratus manakala Negeri Thai dan Indonesia 10 peratus. Ada ramalan mengatakan kadar yang akan dikenakan di Malaysia lebih rendah daripada itu — di sekitar lima peratus.

Seperti yang pernah dihujahkan oleh ketua bahagian percukaian tidak langsung firma perakaunan KPMG, Philppe Norre, cukai GST perlu dirangka dengan sebegitu rupa agar berkesan dan di masa yang sama tidak menyusahkan pembayar cukai.

Beliau berkata hanya bahan makanan asas dan perkhidmatan seperti kesihatan, perubatan dan pendidikan perlu dikenakan cukai paling rendah. Satu struktur yang mudah dengan hanya satu atau dua kadar adalah lebih berkesan dan berjaya. Tambahnya kebanyakan negara yang mengamalkan GST mengenakan satu kadar sahaja.


Kesimpulannya,

1) tidak ada cukai yang tidak membebankan. Itulah sebabnya dalam bahasa ekonomi, kewangan dan fiskal disebut beban cukai (tax burden). Bagi GST ini, beban yang dianggarkan adalah RM1 bilion yang berupa penambahan hasil kerajaan.

2) pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

Di sinilah kita meletakkan satu lagi penanda aras kepada KPI Perdana Menteri kerana dia juga adalah Menteri Kewangan. Idea dan pelaksanaan GST kini menjadi tanggungjawab mutlak beliau.

3) tambahan hasil cukai daripada GST akan hanya memanfaatkan pembayar cukai dan rakyat jelata jika dibelanjakan dengan berhemah. Rekod pencegahan pembaziran dan penggunaan berhemah tabungan negara oleh sector awam belum cukup meyakinkan.

(Sumber kadirjasin.blogspot.com)

Wednesday, March 10, 2010

Hari Wanita Antarabangsa 2010


"Equal Rights, Equal Opportunities: Progress For All.
Kesamaan Hak, Peluang Bersama: Kemajuan Untuk Semua".

Bersempena Hari Wanita Sedunia 2010 pada 8 Mac 2010, Dewan Muslimat Pas Putrajaya menyeru kepada semua wanita di seluruh Malaysia agar bersama berfikir dan bertindak secara fitrah sebagai wanita khususnya wanita muslim. Islam meletakkan kedudukan kaum muslimah setaraf dengan kedudukan kaum Muslimin. Allah S.W.T telah menjadikan manusia lelaki dan wanita. Setiap daripada keduanya membawa peranan yang tersendiri. Saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam erti kata beragama wanita boleh jadi selaku anak dan isteri dan ibu. Begitu juga lelaki sebagai anak, suami mahupun bapa.

Wanita amat mulia kedudukannya di dalam agama. Selaku anak jika belum berkahwin ketaatannya adalah kepada ibu dan ayah. Seterusnya sekiranya sudah berumahtangga ketaatannya pula adalah kepada suami. Lelaki juga ketaatannya adalah kepada ibu dan bapa selagimana tidak menyekutukan Allah S.W.T. dan bermaksiat kepada-Nya.

Daripada wanita, ibu, seorang anak dilahirkan. Diberikan perhatian, kasih sayang serta dibesarkan. Bapa pula bertugas memberikan makan, minum dan tempat tinggal serta segala keperluan kepada keluarga.

Keadilan dalam Islam bukanlah terletak kepada definisi kesamarataan atau lebih mudah difahami pembahagian 50/50, tetapi definisi yang Islam telah gariskan adalah berlandaskan fitrah dan kemampuan seorang wanita iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Seharusnya wanita terutama muslimah melihat keadilan dalam Islam sebagai sesuatu yang menjunjung tinggi hak-hak kewanitaan dalam segenap aspek.

Dalam memperjuangkan hak sebagai seorang wanita, seorang muslimah seharusnya melihat peranan yang wajib dimainkan sebagai wanita itu lebih penting di mana dengan memainkan peranan wanita secra total mampu untuk membawa kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna. Peranan menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman,berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat jauh lebih penting daripada perjuangan menyamaratakan hak wanita dengan lelaki. Walaupun ruang lingkup peranan wanita dilihat kecil dan sempit, namun natijah yang dihasilkan daripada wanita yang benar-benar memainkan peranan itu jauh lebih bermakna kepada masyarakat.

Oleh itu, Dewan Muslimat Pas Putrajaya menyeru kepada seluruh wanita di Malaysia khususnya muslimah agar:
1) Kembali kepada fitrah dan peranan sebagai wanita dalam rumahtangga dan masyarakat agar terbina sebuah masyarakat yang takutkan Allah dan mengikut ajaran Rasulullah sepenuhnya dalam kehidupan
2) Menjadikan medan kerjaya dan medan bermasyarakat sebagai tempat untuk mengajar manusia mengenal Tuhan Pencipta alam.
3) Mengutuhkan institusi kekeluargaan dan memainkan peranan besar dalam pendidikan anak-anak.

Besarlah harapan Dewan Muslimat Pas Putrajaya agar wanita hari ini dapat menjadikan Islam sebagai cara kehidupan dan bertindak kerana pembinaan keluarga uslim yang berlandaskan kehidupan Islam mampu untuk memacu kejayaan dan kemajuan yang lebih hebat.

Islam Dulu, kini dan selamanya