Wednesday, March 10, 2010

Hari Wanita Antarabangsa 2010


"Equal Rights, Equal Opportunities: Progress For All.
Kesamaan Hak, Peluang Bersama: Kemajuan Untuk Semua".

Bersempena Hari Wanita Sedunia 2010 pada 8 Mac 2010, Dewan Muslimat Pas Putrajaya menyeru kepada semua wanita di seluruh Malaysia agar bersama berfikir dan bertindak secara fitrah sebagai wanita khususnya wanita muslim. Islam meletakkan kedudukan kaum muslimah setaraf dengan kedudukan kaum Muslimin. Allah S.W.T telah menjadikan manusia lelaki dan wanita. Setiap daripada keduanya membawa peranan yang tersendiri. Saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam erti kata beragama wanita boleh jadi selaku anak dan isteri dan ibu. Begitu juga lelaki sebagai anak, suami mahupun bapa.

Wanita amat mulia kedudukannya di dalam agama. Selaku anak jika belum berkahwin ketaatannya adalah kepada ibu dan ayah. Seterusnya sekiranya sudah berumahtangga ketaatannya pula adalah kepada suami. Lelaki juga ketaatannya adalah kepada ibu dan bapa selagimana tidak menyekutukan Allah S.W.T. dan bermaksiat kepada-Nya.

Daripada wanita, ibu, seorang anak dilahirkan. Diberikan perhatian, kasih sayang serta dibesarkan. Bapa pula bertugas memberikan makan, minum dan tempat tinggal serta segala keperluan kepada keluarga.

Keadilan dalam Islam bukanlah terletak kepada definisi kesamarataan atau lebih mudah difahami pembahagian 50/50, tetapi definisi yang Islam telah gariskan adalah berlandaskan fitrah dan kemampuan seorang wanita iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Seharusnya wanita terutama muslimah melihat keadilan dalam Islam sebagai sesuatu yang menjunjung tinggi hak-hak kewanitaan dalam segenap aspek.

Dalam memperjuangkan hak sebagai seorang wanita, seorang muslimah seharusnya melihat peranan yang wajib dimainkan sebagai wanita itu lebih penting di mana dengan memainkan peranan wanita secra total mampu untuk membawa kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna. Peranan menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman,berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat jauh lebih penting daripada perjuangan menyamaratakan hak wanita dengan lelaki. Walaupun ruang lingkup peranan wanita dilihat kecil dan sempit, namun natijah yang dihasilkan daripada wanita yang benar-benar memainkan peranan itu jauh lebih bermakna kepada masyarakat.

Oleh itu, Dewan Muslimat Pas Putrajaya menyeru kepada seluruh wanita di Malaysia khususnya muslimah agar:
1) Kembali kepada fitrah dan peranan sebagai wanita dalam rumahtangga dan masyarakat agar terbina sebuah masyarakat yang takutkan Allah dan mengikut ajaran Rasulullah sepenuhnya dalam kehidupan
2) Menjadikan medan kerjaya dan medan bermasyarakat sebagai tempat untuk mengajar manusia mengenal Tuhan Pencipta alam.
3) Mengutuhkan institusi kekeluargaan dan memainkan peranan besar dalam pendidikan anak-anak.

Besarlah harapan Dewan Muslimat Pas Putrajaya agar wanita hari ini dapat menjadikan Islam sebagai cara kehidupan dan bertindak kerana pembinaan keluarga uslim yang berlandaskan kehidupan Islam mampu untuk memacu kejayaan dan kemajuan yang lebih hebat.

Islam Dulu, kini dan selamanya


No comments:

Post a Comment