Friday, May 20, 2011

Pertubuhan Amal Khadijah Malaysia (PERAMAH)

        PERAMAH~ bkn sekadar bantu wang ringgit, tapi menumpukan aspek PENGHAYATAN ROHANI.

Kepada mana2 individu yg berminat untuk menjadi SUKARELAWAN @ menghulurkan  sebarang BANTUAN, bolehlah Hubungi :~ PERAMAH ditalian 019-559 7066 atau 019-676 6454.





KUALA LUMPUR : PERAMAH atau Pertubuhan Amal Khadijah Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru sahaja ditubuhkan membuka lembaran baru dalam kegiatan amal dengan menawarkan bentuk kebajikan mengikut versinya yang tersendiri.

Pengerusinya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata ia merupakan inisiatif yang dibuat pihaknya setelah melihat praktikal kerja-kerja amal hanya bertumpu kepada aspek material dan fizikal semata-mata.

"Kita menumpukan aspek penghayatan rohani serta bimbingan kepada fokus sasaran untuk membantu mereka meneruskan kehidupan bukan hanya tertakluk kepada wang ringgit," ujarnya kepada Harakah selesai Hi-Tea Pelancaran PERAMAH di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini.

Pada peringkat awal ujarnya, PERAMAH yang mensasarkan golongan warga emas daripada kalangan wanita akan menubuhkan dua buah rumah perlindungan di Kajang dan Perak.

"Kita akan bergerak kepada seluruh masyarakat bagi membawa mereka menghayati dan mengenali diri mereka sendiri seterusnya memberikan sokongan moral dan membimbing dari aspek kerohanian.

"Buat masa ini kami lebih menumpukan kepada wanita di kalangan warga emas, dan selepas ini kami akan beralih sasaran lain pula," katanya lagi.

Ditanya mengenai sumber kewangan untuk meneruskan kegiatan tersebut, Najihah berkata Peramah turut menjalankan aktiviti perniagaan bagi menampung segala bentuk keperluan khususnya dalam membiayai perjalanan rumah amal yang sedang dalam proses pembinaan itu.

"Ia merupakan inisiatif yang kami ambil untuk mengelakkan kebergantungan PERAMAH kepada pihak lain dalam menjalankan sebarang aktiviti," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita , keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar pula memaklumkan bahawa banyak NGO di Kelantan ditubuhkan bagi memudahkan aktiviti yang dijalankan.

"Alhamdulillah kita ada NGO di setiap DUN yang bertujuan memudahkan lagi segala usaha membantu rakyat kerana kerja-kerja amal ini suatu tuntutan," ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Katanya, walaupun umum mengetahui aktiviti seumpama ini dipelopori golongan non-muslim tetapi ia bukan suatu penghalang untuk usaha seperti ini diteruskan.

Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tersebut turut diserikan dengan persembahan artis, Heliza Helmi yang menyampaikan dua buah lagu disamping deklamasi sajak oleh Nailatun Syakirah.

Hadir sama pada petang itu, Penasihat PERAMAH, Ustazah Nuridah Mohd salleh, serta beberapa wakil NGO lain seperti Helwanis, Perkim, Nisa' Malaysia, pertubuhan ibu tunggal dan anak-anak yatim dari rumah amal yang berhampiran.

Satu tabung bagi membantu mangsa kebakaran di Lembah Pantai turut dilancarkan pada majlis yang sama di bawah skim Tabung Pemurah. 

p/s: mari sama2 kita menyumbang... jom jadi sukarelawan... =)


Selamat Hari Guru ~ Bangkitlah GURU untuk RAKYAT! takbir!


Perutusan Hari Guru
Bangkitlah guru untuk rakyat!

SABAN tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ‘guru.’ Hampir 360,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.


Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, saya ingin mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.

Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik.

Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT.

Sudah pasti penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar “muslimat” dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar “muslimat“ merupakan insan yang cukup istimewa. Mereka dianugerahi ísifat keibuaní yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki.

Justeru, profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita. Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah, kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat.

Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.

Akhir kata, ‘Selamat Menyambut Hari Guru;’ dengan tema ‘Bangkit Guru Untuk Rakyat.’

NORMALA SUDIRMAN
Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat