Sunday, April 24, 2011

WANITA SOLEHAH SRIKANDI UMMAH.......

"Wanita dimasyhurkan kerana tidak ditonjolkan. Ia tersembunyi biarpun hadirnya menggegarkan ”.


Dia adalah Hawa. Dia dicipta sebagai wanita.Pelengkap lelaki yang mempunyai keistimewaan yang tuntas dan termahal di dalam menjana peribadi unggul dan berprestij. Dia adalah aspirasi setiap generasi. Bertepatan dengan fitrahnya yang lembut, berhikmah, halus dan tersendiri, ia mempunyai sentuhan ajaib yang terlalu sukar untuk diganggu gugat.Agung dan uniknya wanita kerana menjadi tapak semaian pertama benih-benih generasi yang bakal mewarnai dunia dengan agenda perjuangan. Peranannya di dalam memanusiakan manusia tidak pernah dinafikan oleh kebenaran sejarah.

Dilahirkan sebagai wanita, insan yang dianggap lemah ini tidak pernah teragak-agak untuk bergandingan dengan rijal sebagai serikandi yang mekar dan terus mewangi di taman dakwah dan jihad. Senyumnya adalah rahsia yang tersingkap, tangisannya adalah rasa hati dan kemarahannya adalah pemberontakan kasih sayang. Amat malang, kewujudan makhluk ciptaan Tuhan yang merupakan sebahagian daripada juzu’ alam ini disalahertikan oleh golongan jahiliah suatu ketika dahulu. Bagi mereka, wanita adalah lambang kehinaan, punca kepapaan, satu kaum yang tidak bernilai dan boleh ditanam hidup-hidup. Memanjangkan hayat wanita bermakna membenarkan kehinaan bertapak di dalam keluarga. Wanita adalah golongan terpinggir yang tidak pernah diiktiraf haknya di dalam meneruskan kehidupan mereka.Kebencian mereka terhadap wanita didedahkan oleh Allah di dalam Al Quran ketika kalam kepastianNya dituturkan, yang bermaksud :

“ Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah ( merah padamlah ) mukanya dan dia sangat marah.Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai,disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu ”.
-An Nahl - 58-59.

Kedatangan Islam meninggikan martabat wanita untuk bergerak seiring dengan kaum lelaki sebagai sayap kiri perjuangan.FirmanNya yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ”.
- At Taubah- 71

Kelahiran Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asma’,Rabiah Al Adawiah dan serikandi-serikandi pejuang didikan madrasah Rasulullah menyerlahkan imej wanita sebagai ratu manusia dan ibu yang telah berjaya membentuk generasirabbani. Saidatina Khadijah adalah lambang keunggulan wanita muslimah. Sebaris nama itu sering menjadi sebutan dibibir Rasulullah biarpun pada hari-hari selepas kematiannya. Dia adalah wanita pertama yang menjadi penyeri dunia Rasulullah.Fatimah yang solehah punya peribadi anggun yang menjadi nadi kepada kelangsungan hayat Saidina Ali. Dia tidak suka melihat lelaki dan tidak suka pula dilihat oleh lelaki. Asma’ telah berjaya melahirkan Abdullah Az Zubir, panglima yang gagah berani melalui kemantapan tarbiyyahnya. Rabiah Al Adawiah merupakan sumber inspirasi cinta yang sentiasa merindui Tuhannya. Dia tenggelam di dalam keasyikan cinta Al Haq yang sering melafazkan alunan resah pada setiap penjuru dosa.


“ Bagaimana aku tidak bersedih sedangkan aku tidak tahu samada Dia marah atau redha denganku ”.
“ Alangkah buruknya hamba yang menyembah Allah S.W.T semata-mata mengharapkan syurgaNya dan takutkan api nerakaNya.Seandainya Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kamu akan menyembahNya ? ”.

Itulah wanita-wanita yang sering menggegarkan dunia, menjadi idola setiap lelaki beriman.

Era pasca modenisme menyaksikan wanita-wanita yang seumpama itu kian lumpuh dan tandus. Wanita biasanya dikaitkan dengan kelemahan yang sering menuntut kebebasan. Mereka lebih mementingkan kecantikan zahir untuk dipertontonkan tanpa menekankan kecantikan diri ( batin ) yang lebih universal dan abadi. Wanita diekspliotasi oleh setiap golongan yang tidak memahami fungsi kewujudannya. Wanita bukan lagi pakar yang mempunyai penawar ampuh yang dapat merawat penyakit ummah yang semakin kronik dan bervariasi.Kebanyakan mereka adalah wanita adunan barat yang sering mengaplikasikan imej Diana, Madonna, Elizabeth Taylor, atau Whitney Houtosn sebagai budaya.Mereka adalah puteri,ratu dan Cinderella abad ke 21 yang menjadi igauan dan impian wanita-wanita yang berpenyakit hati.

Pastinya setiap wanita muslimah merasa terpanggil untuk merubah situasi ini. Emosi dan psikologi muslimah akan tertampar pedih melihat kemelut yang tercetus di abad ini. Ke mana hilangnya Khadijah,Aisyah,Fatimah, Rabiah dan Isabella di dalam diri wanita hari ini ? Apakah kehilangan mereka merupakan penamat kepada perjuangan muslimah atau pencetus kelahiran baru yang lebih gemilang ? Biarlah ilmu dan kesedaran yang menentukan keinginan kita untuk bertindak.Cukuplah perkhabaran daripada Rasulullah yang mengatakan bahawa kebanyakan wanita adalah penghuni neraka sebagai peringatan yang membataskan segala pergerakan dan kata-kata. Marilah kita sama-sama mengutip sejarah keagungan wanita solehah terdahulu untuk kita warnakan kehidupan serikandi alaf baru. Kita adalah penerus kesinambungan semangat waja muslimah solehah yang bakal melahirkan seribu Asma’, Khadijah, Fatimah, Rabiah dan seumpamanya.

“ DUNIA ADALAH PERHIASAN. SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA IALAH WANITA YANG SOLEHAH”.
- riwayat Muslim

Wednesday, April 13, 2011

Suami Isteri hingga ke Syurga????


1. Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin.

Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin akan dikahwinkan oleh Allah SWT di syurga kelak dengan seorang lelaki di kalangan ahli syurga.

Rasullullah SAW bersabda ‘"Tiada si bujang di dalam syurga" (Muslim).

Ini kerana ada juga lelaki belum berkahwin yang meninggal dunia.

2. Wanita yang meninggal dunia setelah diceraikan dan tidak berkahwin sesudahnya.

Wanita ini juga akan dikahwinkan oleh Allah SWT dengan lelaki daripada ahli syurga.

3. Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak masuk syurga.

Begitu juga wanita yang meninggal dunia yang masuk syurga sedangkan suaminya tidak masuk syurga, akan di kahwinkan oleh Allah dengan serorang daripada lelaki yang masuk syurga.

4. Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin.

Wanita ini akan berada bersama suaminya di syurga kelak sekiranya suaminya masuk syurga.

5. Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin sesudahnya.

Wanita ini akan tetap bersama suaminya yang dikahwini di dunia sekiranya suaminya masuk syurga.

6. Wanita yang kematian suami dan berkahwin sesudahnya.

Wanita yang kematian suami dan berkahwin lain akan bersama lelaki yang terakhir dikahwininya di dunia tidak kira berapa kali dia berkahwin. Suami yang terakhir adalah suaminya di syurga sekiranya suami itu
menjadi ahli syurga.

Rasullullah SAW bersabda.. "wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir"



Monday, April 11, 2011

Pilihanraya SARAWAK.... ( Penamaan calon, 6 April)

PAS buka jalan rakyat Sarawak buat perubahan

KOTA SAMARAHAN, Rakyat Sarawak sudah menyedari salah laku Ketua Menteri mereka, Tan Sri Abdul Taib Mahmud namun takut untuk membuat perubahan, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada ketakutan itu dan membuat perubahan di negeri ini.

"Rakyat Sarawak ngin meyakinkan parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat bahawa salah laku keluarga Taib Mahmud diketahui umum tapi mereka kurang berani menunjukkan kemarahan.

"Mereka gerun dan takut untuk buat perubahan dan mengharapkan kami untuk tanamkan keyakinan untuk jatuhkan Taib. Kita buat satu mukadimah masuk ke Muara Tuang supaya mereka berasa yakin," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PAS sudah pasti ingin merampas kerusi itu dari BN, apatah lagi calonnya ialah adik Taib sendiri.

Namun katanya, jika hanya berjaya mengurangkan majoriti BN sekalipun, ianya merupakan kejayaan besar kerana PAS baru pertama kali bertanding di Dun itu.

"Peluang untuk PAS menang nampaknya 50-50 kerana ini kali pertama PAS bertanding di sini. Sebelum ini PKR bertanding dan mereka kalah dengan majoriti enam ribu lebih. Jadi kita rasa kalau pun kita dapat kurangkan majoriti pun satu kejayaan besar," katanya.

Mengulas mengenai calon wanita yang diletakkan PAS pula, beliau berkata ianya satu keputusan tepat kerana majoriti pengundi di Muara Tuang terdiri daripada wanita.

"Sebahagian besar pengundi di Dun ini adalah wanita jadi dengan PAS meletakkan Noraini yang dikenali di kalangan kebanyakan wanita di sini ini satu pilihan yang tepat," katanya.

Ini juga, katanya satu penghormatan kepada Dun Sarawak apabila memberi peluang kepada calon wanita.

"PAS memang mahu mengenengahkan lebih ramai calon wanita dan ini merupakan penghormatan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana boleh memberi peluang kepada calon wanita untuk menganggotai dewan," katanya.

PAS meletakkan Noraini Hamzah, 49, bagi menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, 61.


p/s: Doakan kemenangan milik calon kita...